25 Oct
Saturday
 
You are here: ISIUKM > Kenyataan Media > Helwa > Samakah Seorang Isteri dengan pelacur ?

Samakah Seorang Isteri dengan pelacur ?

Assalamualaikum buat semua siswi, “ siswi cakna isu-isu semasa “. Walaupun saya belum bergelar isteri tetapi saya terpanggil untuk merespon isu kelab isteri taat yang menimbulkan banyak kecaman daripada pelbagai pihak. Memetik kenyataan dari Naib Presiden Kelab Isteri Taat, Dr Rohaya Mohamed baru-baru ini, beliau mengingatkan golongan isteri supaya patuh dan melayan suami seperti ‘pelacur kelas pertama’. Apakah yang dimaksudkan dengan pelacur kelas pertama? Adakah istilah pelacur itu perlu dilabelkan kepada seorang isteri apabila melayan suami yang halal baginya ?? Cukup kejam apabila istilah itu digunakan kerana istilah itu menjadikan isteri sebagai objek seks semata-mata. Islam menuntut suami menghormati isteri dan bukannya menjadikan isteri objek seks dalam rumah tangga.
Saya selaku seorang wanita merasa sangat terhina apabila tugas suci seorang isteri melayani suami ini disamakan tarafnya dengan tugas seorang pelacur melayan pelanggan yang dikuasai nafsu syahwat. Walaupun suami diwajibkan memberi nafkah kepada isteri dalam bentuk tempat tinggal, makan minum, pakaian atau wang ringgit, tetapi ia bukanlah sebagai ganti kepada khidmat seks yang isteri berikan. Kenyataan Presiden Kelab Isteri Taat, Dr Rohaya Mohamed ini telah meletakkan martabat seorang isteri serendah pelacur.
Baik suami mahupun isteri, bagi mengekalkan hubungan dan mengelakkan berlakunya kes penceraian, perasaan kasih sayang dan saling menyintai antara satu sama lain merupakan asas utama dalam mengekalkan perhubungan mereka. Jika pasangan suami isteri sedar akan perkara ini, seks bukanlah menjadi kayu ukur dalam kebahagiaan rumahtangga. Hubungan seks bukanlah segala-galanya dalam membentuk kebahagian bagi sesebuah pasangan. Memetik kenyataan dari Timbalan Presiden PGSM, Musa Awang, beliau berkata isteri bukan pekerja seks bagi suami kerana tugas isteri melayan suami adalah satu ibadat yang diberi ganjaran pahala daripada Allah s.w.t.

Jika inilah pandangan pimpinan atasan kelab Isteri Taat, maka samalah kelab tersebut dengan kilang pemprosesan robot yang menghasilkan robot wanita yang hanya bertindak sebagai pemuas nafsu bagi sang lelaki. Saya membangkang dengan idea penubuhan kelab Isteri taat tesebut.  Tugas seorang isteri melayan seorang suami adalah perkara mulia yang perlu dibangga-banggakan manakala tugas seorang pelacur itu lebih kepada perkara yang menjijikkan. Bukankah tugas seorang pelacur itu sangat berbeza dengan tugas seorang isteri?.
Justeru itu, saya selaku wakil dari HELWA ISIUKM memandang kewujudan kelab ini sebagai sesuatu yang memberi ancaman kepada kaum hawa. Saya yakin dan percaya bahawa wanita umumnya dan isteri khususnya tidak akan bersetuju kelab ini ditubuhkan kerana ianya hanya akan mencerminkan diri seorang isteri setaraf dengan tugas seorang pemuas nafsu syahwat lelaki. Seharusnya, pihak yang bertanggungjawab perlu meneliti dan mengkaji terlebih dahulu adakah perlu ditubuhkan kelab seperti ini bertepatan dengan konsep pembangunan wanita ke arah yang lebih baik. Saya rasa lebih wajar kiranya menubuhkan kelab-kelab yang membantu suami dan isteri dalam menyelesaikan permasalahan agar rumahtangga setiap pasangan   terus utuh dan kukuh. Wallahua’lam.
Cetusan pemikiran :
Norazira Bt Zakaria
Timbalan Pengurusi Helwa
Ikatan Studi Islam (ISIUKM) 2011/2012
“ BERSAMA MELANGKAH MENGINSPIRASI UMMAH “

Comment
  1. aifyque_169June 14, 2011 at 3:58 amReply

    1. Apabila suami pulang ke rumah dalam keadaan letih & isteri layan dengan baik maka dia memperolehi pahala jihad.
    2. Wanita yang menyebabkan suami keluar ke jalan Allah & menjaga adab rumah tangga akan masuk syurga 500 tahun lebih dulu dari suaminya. Dia akan menjadi ketua 70,000 malaikat & bidadari. Dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga & menunggang suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat dari permata yaqut.
    3. Wanita yang menjaga solat, puasa & taat pada suaminya, Allah izinkan dia masuk syurga dari mana-mana pintu yang ia suka.
    4. Kalau isteri layan suami tanpa khianat dia dapat pahala 12 tahun solat.
    5. Wanita yang picit suami tanpa disuruh dapat pahala 7 tola emas & wanita yang picit suami bila disuruh dapat pahala 7 tola perak.
    6. Wanita yang meninggal dengan keredhaan suaminya akan masuk syurga.
    7. Jika suami mengajar isterinya satu masaalah agama akan dapat pahala 80 tahun ibadat.
    8. Isteri yang lihat suami dengan kasih-sayang & suami yang lihat isteri dengan kasih-sayang maka Allah pandang dengan penuh rahmat.
    9. Jika suami datang dengan kemarahan tetapi isteri layan dengan baik dapat separuh pahala jihad

    adakah kemuliaan yang Allah berikan kepada seorang isteri sebegini dianggap pelacur kelas pertama…astaghfirullah…bertaubatlah orang yang cuba mengganggap kemuliaan seorang bergelar isteri itu sebagai pelacur…wallahualam..

  2. MasJune 23, 2011 at 8:58 amReply

    Yang dah berumahtangga taknak bagi komen ke?

    sbb pada saya seks adalah sesuatu yang tidak boleh dibincang secara terbuka.. tapi sebenarnya tiada salah pun kalau seseorang isteri itu diperingatkan supaya mengutamakan keperluan seks si suami umpama seorang pelacur kelas pertama yg memberikan khidmat seks tip top kepada pelanggannya.. cuma yg jadi tak kena dan tak manis, bila ianya diberi kenyataan secara terbuka.. apa pun, isu seperti ini lebih baik seseorang yg dah berumahtangga yang berikan pendapat kerana alam perkahwinan ni tak semudah yg kita bayangkan..

    kalau seseorang wanita tu dah cukup hebat dari segi memasak, mengemas rumah, menjaga anak2, menjaga harta dan pakaian suami tapi dia masih lagi "gagal" dalam soal menjaga keperluan seks si suami, dia belum tentu dapat membahagiakan si suami.. Ya betul, mmg isteri bukan hamba seks suami, tapi apabila seseorang memberikan pendpat yg isteri taat perlu berikan khidmat seks pada suami umpama pelacur kelas atasan.. kita yg muda2 lebih lagi pada saudari2 yg belum berumahtangga jangan cepat melatah..

    ada sebab dan munasabahnya mengapa pendapat tersebut dikeluarkan… bukan taraf yg diberikan kesamaan… tetapi layanan itu.. yg mana kaum isteri masa kini hampir2 terlupa.. dan suami yg tak mendapat layanan "seks" sebaiknya akan menghadapi stress…

    sbb tu kita tengok byk rumahtangga yang bermasalah, bercerai berai, suami main kayu tiga.. suami kawin no 2 senyap2.. sedangkan isteri pertama yg dikahwininya seorang yg cantik walau dah beranak 2 masih lagi jelita, potongan badan yang menarik.. dan ada juga isteri yang serba serbi pandai… dgn memasaknya, mengemas dan menjaga rumah, tak ketinggalan dgn ramah tamah dan pandai mengambil hati mertua.. tapi suami tetap juga main kayu tiga.. kenapa agaknya.. dan apa yg tak kena.. apa salah si isteri.. biasanya bila berlaku kes macam ni, bila isteri failkan kes cerai dgn alasan suami main kayu tiga.. bila dibicarakan dalam mahkamah barulah terbongkar bila si suami menyebut yg si isteri tak melayannya dgn baik.. dan layanan apa lagi si suami ni nak, kalau makan minumnya sentiasa terjaga… balik kerja semua dah disediakan.. bila penat si isteri mengurut seluruh badan suami.. apa lagi yg tak cukup.. sehinggalah si suami menyebut layanan "seks" yg tak cukup dan tak mesra.. barulah terkejut si isteri…

    sbb tu lah tajuk buku yg mengajarkan cara2 melakukan hubungan seks suami isteri itu disebut sebagai "permata yg hilang".. kerana ia adalah ilmu yg berharga dan sangat penting utk melayari bahtera rumahtangga… tetapi kebanyakkan kita tak nampak kepentingannya… Wallahua'lam…

    Al Fakirah Illallah.. Mas.

Submit Comment

Isiukm's Channel
See MOre Videos