Merujuk kepada isu perhimpunan menuntut kebebasan akademik yang dianjurkan oleh Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) pada 17 Disember 2011 di Pejabat SUHAKAM dan PWTC baru-baru ini dan isu penurunan bendera Perdana Menteri, Ikatan Studi Islam UKM dengan ini menyatakan sokongan penuh terhadap BEBAS yang diketuai oleh Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Saudara Muhammad Safwan bin Anang.
ISIUKM turut menegaskan sokongan padu kepada Saudara Adam Adli, Pengerusi Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang sedang berdepan dengan tuduhan dan ugutan selepas isu penurunan bendera dimainkan oleh media.
Sokongan Secara Berobjektif, Kerajaan Wajib Mendengar Luahan BEBAS
BEBAS yang ditubuhkan oleh sekumpulan mahasiswa yang mewakili pelbagai badan dan persatuan mahasiswa di kampus masing-masing adalah bertujuan untuk menjadi kumpulan pendesak mahasiswa ke arah memastikan kebebasan akademik di universiti menjadi kenyataan dan juga sebagai platform suara mahasiswa yang muak dengan tindakan berterusan yang tidak bertanggungjawab pihak kerajaan mencabul institusi akademik selama ini.
Kami yakin tindakan dan strategi yang dilaksanakan oleh BEBAS adalah manifestasi kekecewaan kelompok mahasiswa yang sedar akan kepentingan instistusi akademik dibebaskan daripada kongkongan dan desakan kepentingan pihak-pihak tertentu dan mempergunakannya demi mencapai matlamat sempit mereka.
Kegagalan masyarakat dalam menilai kesan negatif daripada tindakan kerajaan menekan institusi akademik daripada berfungsi secara aktif akan menyebabkan terhalangnya proses kematangan demokrasi di Malaysia berlaku. Tindakan menggantungkan tugas Prof. Dr Aziz Bari baru-baru ini merupakan trajedi berdarah terhadap laungan kebebasan akademik dan merupakan contoh terbaik kenapa BEBAS ditubuhkan dan digerakkan secara progresif.
ISIUKM mengajak masyarakat dan rakan-rakan mahasiswa untuk menyatakan sokongan terhadap BEBAS secara objektif demi mencapai cita-cita pembebasan semula institusi akademik di negara kita.
ISIUKM turut mengesa kerajaan agar mendengar luahan dan pandangan mahasiswa dalam isu demi sebagai memenuhi tuntutan demokrasi yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Kerajaan harus bijak dalam menilai dan menangani isu ini agar aspirasi murni dan ekspresi tindakan mahasiswa melalui BEBAS tidak menjadi mainan media semata-mata tetapi suatu yang bermakna ke arah membina sebuah masyarakat yang demokratik dan matang.
Budaya Gangster dan Ugutan Wajib Dikecam
ISIUKM secara tegas mengutuk dan mengecam keras tindakan beberapa tindakan kumpulan dan individu tertentu yang mengugut dan mengancam keselamatan Saudara Adam Adli, mahasiswa UPSI yang dikaitkan dengan isu penurunan bendera Perdana Menteri di PWTC.
Kami menyifatkan tindakan berbaur ancaman dan ugutan tersebut sebagai tidak matang dan merendah-rendahkan maruah mereka yang mewakili badan-badan tertentu. Malah tindakan menyerang peribadi Adam Adli secara tidak bermaruah melalui media maya dengan menyebarkan gambar super-impose yang mengaitkan dengan budaya homoseksual dan memalukan adalah sangat tidak wajar dan melambangkan nilai moral si pelaku terbabit yang begitu rendah.
Kami turut menggesa pihak keselamatan terutamanya PDRM agar memandang serius ugutan pukul dan bunuh yang dihantar kepada Adam Adli dan keluarganya oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab.
Aspirasi Tidak Matang Mendepani Isu
ISIUKM turut menyatakan rasa kesal terhadap pertubuhan Aspirasi UKM yang bermuka-muka dalam mendepani isu kebebasan akademik. Serangan berbaur tohmahan melulu terhadap pertubuhan mahasiswa Islam induk UKM ini oleh Presiden Aspirasi UKM, Mohd Kamal Ali dalam laman Facebook dengan mengaitkan ISIUKM dan gerakan politik mahasiswa jelas membuktikan ketidakmatangan pihak Aspirasi dalam mendepani isu ini. Kami beranggapan kegagalan Saudara Kamal Ali memahami konsep pengamalan demokrasi secara matang di kampus menjadi faktor utama kenapa tuduhan tersebut boleh dibuat.
Sekali lagi, ISIUKM menyatakan sokongan penuh terhadap BEBAS dan Adam Adli dalam isu ini.
“Bersama Melangkah Menginspirasi Ummah”
Sekian terima kasih.
Muhammad Hafizan Abd Hamid
Presiden
Ikatan Studi Islam UKM
Merangkap,
Setiausaha Agong
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)